rss

Refleksi

Posted by monita85 | Posted in

REFLEKSI 1

Refleksi 1:
Apakah transformasi yang perlu dilalui oleh seorang guru supaya dapat mencapai hasrat negara untuk membangunkan generasi yang mempunyai kemahiran abad 21 (Sila baca sendiri apa yang dimaksudkan dengan kemahiran abad 21)?

Sebagai seorang guru abad ke 21, mereka hendaklah bersedia untuk melakukan transformasi yang menyeluruh dalam proses pengajaran dan pembelajaran ( p&p). seperti yang kita sedia maklum, baru-baru ini Perdana Menteri Malaysia yang ke 6 iaitu Dato’ Seri Najib Tun Razak melalui ucapan sulungnya kepada rakyat Malaysia telah mengatakan akan wujud satu transformasi pendidikan dalam pemerintahannya. Apa yang pasti, transformasi pendidikan ini berlaku adalah disebabkan oleh desakan abad 21 yang mengkehendaki satu sistem pendidikan terbaik selaras dengan perkembangan ICT dapat dibentuk bagi memastikan rakyat Malaysia khususnya agar tidak terus ketinggalan dek arus perubahan yang berlaku. Prof Dr Sidek Baba pada satu sesi seminar baru-baru ini di Universiti Malaya sempena Bengkel Latihan Mengajar bagi pelajar Sarjana Muda Pendidikan Islam telah mengatakan bahawa pada tahun 2010 sistem pendidikan negara akan melalui satu perubahan sistem menjadi sebuah sistem pendidikan transformatif yang mengkehendaki berlakunya perubahan terhadap kurikulum dan sistem peperiksaan di negara ini. Oleh itu sebagai seorang guru mereka seharusnya sedar bahawa abad ke 21 merupakan satu cabaran yang besar kepada mereka untuk memastikan p&p yang mereka bawa itu sesuai dengan perkembangan semasa.



REFLEKSI 2

Refleksi 2:
Ramai yang mengatakan guru-guru tidak menggunakan ICT di sekolah kerana mereka belum bersedia. Sekiranya anda ditempatkan di sekolah Bestari, apakah langkah-langkah yang akan anda lakukan untuk membantu guru-guru lain supaya bersedia untuk membudayakan ICT dan memanfaatkan perkakasan ICT yang ada di sekolah?

Dalam era ICT para guru sepatutnya bersedia untuk menggunakan kemudahan ICT yang terdapat di sekolah. Bagi saya guru yang tidak bersedia untuk melakukan perubahan dari sistem pengajaran bersifat tradisional kepada satu sistem pengajaran yang bersifar moden merupakan seorang guru yang tidak mempunyai inovasi dalam diri mereka. Cabaran globalisasi yang wujud pada ketika ini secara tidak langsung telah ‘memaksa’ manusia melakukan perubahan ke arah penggunaan kecanggihan teknologi moden dalam apa jua bidang termasuklah profesion perguruan itu sendiri. Globalisasi mengkehendaki para guru khususnya beralih kepada penggunaan teknologi ICT dalam proses p&P. Oleh itu sekiranya saya ditempatkan di salah sebuah Sekolah Bestari di negara ini , saya dengan sedaya upaya saya akan memastikan guru-guru yang mengatakan tidak bersedia menggunakan ICT tadi akan mula berjinak-jinak dengan kemudahan ICT di sekolah dan seterusnya menjadikan kemudahan ICT menjadi Alat Bantu Mengajar yang paling efektif di sekolah tersebut. Antara langkah-langkah yang akan saya lakukan bagi membantu guru-guru bersedia membudayakan dan memanfaatkan perkakasan ICT di sekolah ialah :
• Mengadakan satu bengkel khas bagi guru-guru tersebut secara percuma. Bengkel tersebut akan diisi dengan pelbagai aktiviti yang berkaitan dengan ICT bagi membantu para guru memahami betapa mudah dan seronoknya pengajaran menggunakan ICT.
• Membantu membina perisian atau koswer yang sesuai untuk proses p&p.
• Mencadangkan kepada pengetua untuk mewajibkan penggunaan peralatan ICT dalam proses p&p di sekolah.


REFLEKSI 3

Refleksi 3:
Untuk refleksi seterusnya, berikut adalah soalan-soalan yang perlu dibincangkan bersama. Soalan-soalan ini menuntut anda memikirkan pengalaman yang telah dilalui pada semester ini yang berkaitan dengan pembelajaran atas talian menggunakan Moodle (ADEC). Soalan-soalan ini adalah amat penting kerana ianya akan membantu anda sebagai seorang guru yang juga akan menggunakan pembelajaran atas talian dengan murid-murid anda suatu hari nanti.

1- Apakah ciri-ciri dan kemahiran yang ada pada anda membolehkan anda mengawal proses pembelajaran anda secara atas talian?

Ciri-ciri dan kemahiran yang ada pada saya bagi membolehkan saya mengawal proses pembelajaran atas talian ialah saya mempunyai kemahiran dalam enjin pencarian, menyediakan blog, membina montaj menggunakan movie maker ataupun ulead, mahir dalam Microsoft office terutama word dan powerpoint, menggunakan web-web tertentu yang mampu menarik minat pelajar menumpukan pengajian mereka terhadap pengajaran saya. Kesemua kemahiran ini akan saya satukan bagi memastikan kawalan pengajaran atas talian akan dapat dijalankan dengan baik. Disamping itu personaliti diri juga amat penting bagi memastikan pelajar menggemari cara pengajaran saya. Ini bagi mengelakkan pelajar-pelajar tidak fokus terhadap apa yang saya ingin sampaikan kepada mereka.

2- Apakah bahan atau sumber yang perlu disediakan oleh tutor/pensyarah supaya anda boleh mengawal proses pembelajaran anda atas talian?

Bahan atau sumber yang perlu disediakan oleh pensyarah adalah url atau web dan juga software tertentu yang sesuai digunakan dalam proses p&p dalam talian bagi memudahkan pengawalan kelas secara menyeluruh. Pelajar tidak perlu bersusah payah untuk mencari bahan melalui internet ataupun menyediakan software sendiri sebelum proses p&p berlangsung. Sekiranya ini berlaku proses pengajaran akan mengambil masa yang lama dan boleh menyebabkan pelajar tidak fokus kepada isi pelajaran. Disamping itu juga ia boleh mengelakkan pelajar daripada menggunakan internet untuk tujuan yang tidak sepatutnya yang lari daripada proses p&p.

3- Apakah perkara-perkara yang perlu dibuat oleh seorang guru untuk membantu murid meningkatkan kawalan proses pembelajarannya secara atas talian?

Menyediakan satu bahan pengajaran yang mampu menarik minat pelajar mendalami sesuatu ilmu yang diajar. Saya secara jujurnya amat tertarik dengan koswer yang telah dihasilkan oleh Group 8 baru-baru ini. Saya mengakui penghasilan koswer menggunakan flash adalah sesuatu yang agak sukar bagi saya memandangkan saya tidak mempunyai kemahiran menggunakan software tersebut. Koswer seperti itu mampu menarik minat pelajar untuk belajar. Pelajar akan lebih cepat tertarik kepada sesuatu yang asing bagi mereka iaitu sesuatu yang mereka tidak pernah alami sebelum ini. Oleh itu para guru perlu bijak untuk menarik perhatian pelajar mereka.

REFLEKSI 4

Nampaknya kelas kita sudah hampir ke penghujungnya. Saya berharap agar anda sudah mendapat banyak manfaat dan ilmu serta kemahiran dalam masa 9 minggu ini. Anda akan menyerahkan tugasan projek anda tidak lama lagi. Saya ingin mengetahui pendapat anda tentang pengalaman menyiapkan tugasan projek tersebut. Soalan-soalannya adalah seperti berikut:

1. Apakah pendapat/persepsi anda apabila diberitahu bahawa anda dikehendaki untuk menyiapkan satu koswer yang menggabungkan semua elemen-elemen multimedia

Secara jujurnya apabila saya mendapati bahawa saya dan ahli kumpulan dikehendaki untuk menyiapkan satu koswer yang menggabungkan semua elemen-elemen multimedia, saya merasakan ini merupakan satu tugasan yang sukar bagi saya dan ahli kumpulan untuk menyiapkan tugasan tersebut. Walaupun saya pernah mendengan istilah koswer sebelum ini namun saya secara peribadi tidak memahami bagaimana penghasilan koswer itu dapat dilakukan. Ilmu secara teori sudah tentu tidak dapat membantu saya menghasilkan koswer yang menarik sekiranya tidak wujud kemahiran secara praktikal untuk menggunakan program-program ataupun software tertentu. Ini memberikan saya satu gambaran negatif bahawa tugasan koswer merupakan satu tugasan yang agak sukar.

2. Pada pendapat anda adakah projek ini akan dapat membantu anda ketika anda menjalani praktikum nanti?

Pada pendapat saya, sekiranya projek ini berjaya dihasilkan dan sesuai untuk digunakan dalam proses p&p insyaAllah ia akan membantu saya semasa melalui praktikum nanti. Namun kepelbagaian koswer perlu dihasilkan dan perlunya perkongsian ilmu bagi setiap kumpulan untuk berkongsi kemahiran dan kepakaran mereka dalam menggunakan perisian-perisian tertentu yang mereka gunakan untuk menghasilkan koswer tersebut. Disamping itu apa yang pasti penghasilan koswer itu sendiri masih belum mencukupi sekiranya tidak mendapat kemudahan dan kerjasama yang sewajarnya daripada pihak sekolah khususnya dalam penyediaan peralatan teknologi ataupun kemudahan penggunaan makmal komputer bagi guru-guru pendidikan islam.

3. Untuk makluman anda ketika pembentangan projek nanti, rakan-rakan anda yang lain dikehendaki untuk membuat penilaian terhadap anda berasaskan bintang (memberikan jumlah bintang yang bersesuaian dengan produk yang dihasilkan dan pembentangan yang dilakukan)
Soalannya, sekiranya anda fasilitator/tutor kelas ini, adakah anda akan menukar kaedah penilaian tugasan ini?


Jika YA, jelaskan bagaimana dan mengapa? Jika TIDAK (dan ingin mengekalkan kaedah penilaian menggunakan sistem bintang), mengapa?

Kaedah penilaian menggunakan sistem bintang merupakan satu sistem penilaian yang baik. Bagi saya sistem ini sesuai digunakan memandangkan kaedah ini dapat memberikan gambaran yang sebenar terhadap kualiti pembentangan dan koswer yang telah dihasilkan oleh setiap kumpulan. Secara peribadi saya amat berpuas hati dengan cara penilaian atas talian seperti yang dilakukan pada kelas pembentangan pada hari khamis yang lepas. Setiap individu dapat memberikan penilaian yang sewajarnya melalui penelitian mereka sendiri tanpa dipengaruhi oleh individu-individu lain.

REFLEKSI 5

Apakah cadangan dan pendapat anda bagi memperbaiki sukatan pelajaran yang terdapat dalam subjek Multimedia dalam Pendidikan Islam ini? Adakah ianya perlu diubah? Sekiranya YA kenapa dan bagaimana. Sekiranya TIDAK kenapa?

Pada pendapat saya subjek multimedia pendidikan islam memerlukan sedikit pengemaskinian terhadap sukatan pelajaran yang telah digariskan sebelum ini. Hasil penelitian yang telah saya jalankan sendiri, saya melihat berlaku beberapa pengulangan pelajaran di dalam multimedia dalam pendidikan islam seperti yang telah dipelajari sebelum ini dalam teknologi dalam pendidikan islam. Walaupun secara umumnya berlaku perbezaan diantara kedua-dua subjek tersebut, namun masih terdapat juga beberapa pelajaran yang berulang yang tidak sepatutnya berlaku. Atas sebab itu berlaku kerugian masa dan tenaga kerana kami terpaksa belajar ilmu teknologi yang sama sedangkan masih banyak lagi ilmu teknologi lain yang kami tidak sempat pelajari. Disamping itu juga tugasan yang banyak juga memberikan sedikit tekanan kepada pelajar untuk menyiapkannya sehingga projek yang dihasilkan tidak seperti yang kami sendiri kehendaki. Saya sedia maklum sebagai lecturer bagi subjek ini ustaz hanya menerima secara langsung sukatan pelajaran yang diberikan oleh pihak pengurusan. Namun saya sebagai ‘rakyat’ dibawah haruslah meyampaikannya melalui rangkaian yang sepatutnya iaitu bermula daripada ‘YB’ yang memimpin ‘rakyatnya’ dan seterusnya ‘YB’ sampaikan kepada ‘Menteri’ yang terbabit. Oleh itu pada pandangan saya kedua-dua subjek ini iaitu multimedia dalam pendidikan islam dan teknologi pendidikan islam hendaklah dikemaskini dan diselaraskan semula agar kepelbagaian ilmu teknologi dapat dipelajari oleh para Mahasiswa Sarjana Muda Pendidikan Islam.